Thursday, August 19, 2010

hukum membaca al-qur'an di kuburan

Kebiasaan sebahagian masyarakat kita apabila tibanya Hari Raya maka suburlah amalan menziarahi kubur serta membaca al-Quran terutamanya surah yasin di pagi hari raya sehingga ianya menjadi seakan-akan pesta atau upacara wajib di hari tersebut. Persoalannya adakah amalan membaca al-Quran di kubur ini dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para salaf?

Menziarahi kubur merupakan satu amalan yang disuruh serta digalakkan di dalam ajaran Islam di atas tujuan mengambil pengajaran dan peringatan tentang kematian seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis-hadisnya.

Namun begitu sekiranya dilihat kepada amalan yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita pada hari ini, kita mendapati sebahagian mereka telah melakukan satu kesalahan di dalam amalan menziarahi kubur iaitulah dengan melakukan amalan tambahan ketika menziarahinya yang bukan dari syariat Islam. Amalan yang dimaksudkan ialah membaca Al-Quran di atas kubur.

Dalil menjelaskan amalan membaca Al-Quran di kubur tidak disyariatkan

Amalan ini tidak menepati sunnah di lihat dari beberapa aspek:-


Pertama: Nabi s.a.w. tidak mengajarkannya kepada sahabat

Ummul Mukminin Aisyah r.ha yang merupakan orang yang paling disayangi oleh baginda s.a.w. telahpun bertanya kepada Nabi s.a.w. di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya, Nabi bersabda:

إنَّ رَبَّكِ يَأْمُرُكِ أن تَأتِي أهْلَ البَقِيْعِ فَتَسْتَغْفِرَ لَهُمْ، قَالَتْ: قُلْتُ: كَيْفَ أَقُوْلُ لَهُمْ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: قُوْلِي: السَّلاَمُ عَلَى أهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، وَيَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِيْنَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِيْنَ، وَإِنَّا إنْ شَاءَ الله بِكُم لَلاَحِقُوْن.

Nabi bersabda kepada Aisyah r.ha: sesungguhnya Tuhanmu memerintahkan kepadamu pergi ke perkuburan baqi’ lalu pohonlah keampunan dari Allah untuk mereka. Maka Aisyah bertanya kepada Nabi s.a.w. apakah yang aku perlu katakan? Nabi s.a.w. menjawab: ucapkanlah: Salam sejahtera ke atas penghuni rumah ini (kubur) dari kalangan Mukminin dan muslimin, semoga Allah merahmati mereka yang telah mendahului kami dan yang terkemudian dan sesungguhnya kami insya Allah akan menyusul sesudah kamu semua.

Begitu juga seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, diriwayatkan dari Sulaiman bin Buraidah dari ayahnya (Buraidah)

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يُعَلِّمُهُمْ إذا خَرَجُواْ إلَى المَقَابِرِ أن يَقُولُوا: السَّلاَمُ عَلَيكُم أهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إنْ شَاءَ الله بِكُم لاَحِقُوْن. نسأل الله لَنَا وَلَكُم العَافِيَةَ.

Nabi s.a.w. mengajarkan kepada mereka (para sahabat) apabila mereka menziarahi kuburan hendaklah ucapkan Salam sejahtera ke atas penghuni rumah ini (kubur) dari kalangan Mukminin dan muslimin, sesungguhnya kami insya Allah akan menyusul sesudah kamu semua, Kami mohon keselamatan daripada Allah untuk diri kami dan untuk kamu semua.

Sekiranya disyariatkan membaca al-Quran di kubur mengapa Nabi s.a.w. tidak menyuruh Aisyah dan para sahabat yang lain supaya melakukan perkara itu. Ini bercanggah dengan kaedah yang masyhur di dalam ilmu Usul berbunyi:

تَأْخِيْرُ البَيَانِ عَن وَقْتِ الحَاجَةِ لاَ يَجُوْزُ

“Tidak boleh menangguhkan penerangan di saat ianya diperlukan”.

Kaedah ini membawa pengertian bahawasanya Nabi s.a.w. tidak boleh menangguh untuk memberitahu dan menerangkan kepada umatnya suatu perkara yang penting dan diperlukan pada saat itu. Dan sekiranya Nabi s.a.w. tidak menerangkan pada saat itu menyebabkan kemungkinan Nabi s.a.w. tidak dapat menerangkan pada waktu yang lainnya. Inilah yang dimaksudkan kaedah ini. Sekiranya membaca al-Quran itu amalan yang disyariatkan maka sudah pasti nabi akan mengajarkannya kepada Aisyah r.ha. disamping ucapan salam yang diajarkannya di dalam hadis berkenaan. Kerana membaca al-Quran adalah lebih afdal dari sekadar memohon keampunan untuk penghuni kubur.


Kedua: Pemahaman dari hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w.

Daripada Abu Hurairah r.h. Nabi s.a.w. bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوْتَكُمْ مَقَابِرَ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَفِرُّ مِن البَيْتِ الذِيْ يُقْرَأُ فِيْهِ سُوْرَةُ البَقَرَةِ

Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-baqarah. Hadis riwayat Imam Muslim.

Hadis ini menunjukkan bahawa rumah yang dibaca di dalamnya surah al-baqarah akan menyebabkan syaitan lari. Perumpamaan nabi s.a.w. rumah dengan kubur di dalam hadis ini difahami secara mafhum mukhalafahnya (salah satu kaedah istinbat hukum, dibawah ketegori Mafhum al-Ghayah) kubur ialah tempat yang tidak dibaca padanya Al-Quran. Sekiranya kubur merupakan tempat disyariatkan membaca al-Quran maka perumpamaan Nabi s.a.w. ini tidak membawa apa-apa erti, dan dalam erti kata yang lain perumpamaan rumah dengan kubur itu adalah sia-sia. Dan ini mustahil kerana keseluruhan perkataan atau ucapan Nabi s.a.w. melalui hadis-hadisnya itu membawa makna yang sangat mendalam tetapi ibarahnya (susunan ayatnya) sangat ringkas yang disebut sebagai jawamiul kalim yang bermaksud ringkas tapi padat. Seperti hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan dari sahabat Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

صلوا في بيوتكم، ولا تتخذوها قبوراً

Jadikanlah sebahagian dari solat-solat kamu (solat sunat) itu di rumah dan jangan jadikannya seperti kubur. Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Hadis ini menyatakan kubur bukan tempat mendirikan solat kerana nabi menyamakan rumah yang tidak dilakukan solat di dalamnya seperti kubur. Lakukankanlah sebahagian solat (solat sunat) kamu di rumah.

Oleh sebab itu Imam Ibn Hajar ketika mensyarahkan hadis ini di dalam kitabnya “Fathul bari” menyatakan perkataan Nabi s.a.w. “jangan jadikannya seperti kubur” bermaksud kubur bukan tempat melakukan ibadah. Maka kesimpulan yang dapat di ambil dari hadis ini ialah oleh kerana membaca al-Quran merupakan ibadah yang sangat disuruh oleh agama, maka tempatnya bukanlah di kuburan, Ikutilah apa yang telah dianjurkan oleh baginda s.a.w. dengan membacanya di rumah dan secara tidak langsung dapat menghindarkan rumah dari gangguan syaitan.


Ketiga: Hadis yang menganjurkan bacaan Al-Quran di kubur merupakan hadis dhoif (lemah)

Sebahagian masyarakat berhujahkan sebuah hadis yang membenarkan bacaan Al-Quran di kubur iaitu hadis dari Mubassyir dari Abdir Rahman bin al-Ala’ bin al-Lajlaj dari bapanya bahawasanya dia berwasiat apabila dia meninggal dan setelah dia ditanam dibacakan di sisi kepalanya permulaan surah al-baqarah dan akhirnya.

Di dalam hadis ini terdapat rawi (orang yang meriwayatkan hadis) yang bernama Abdul Rahman bin al-Ala’ bin al-Lajlaj dimana rawi ini merupakan seorang yang tergolong di kalangan rawi-rawi yang majhul (yang tidak dikenali) seperti yang disebutkan oleh al-Imam al-Zahabi sewaktu menceritakan biodata rawi ini di dalam kitabnya Mizanul I’tidal (2/574, no 4925) dengan katanya: “tiada seorang pun yang meriwayatkan daripadanya kecuali Mubasyar bin Ismail al-Halabi”.

Maka hadis yang terdapat di dalamnya rawi yang tidak dikenali menyebabkan taraf hadis dihukumkan oleh ulamak hadis seperti al-Albani sebagai dhoif (lemah) tidak boleh dijadikan hujah di dalam hukum hakam syarak. (Ahkamul Janaiz: 244)

Adapun hadis-hadis yang menyatakan bacaan yasin, bacaan Qulhu wallahu ahad dan sebagainya di atas kubur kesemuanya merupakan hadis yang maudu’ (palsu) dan La Asla lahu (tidak ada asalnya).


Keempat: Tujuan menziarahi Kubur

Tujuan daripada menziarahi kubur bukan untuk membaca al-Quran tetapi untuk mengambil I’tibar dan pengajaran mengingati kematian. Abu Said al-Khudri berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنِّي نَهَيْتُكُمْ عَن زيارةِ القُبُوْر فَزُوْرُوْهَا، فَإِنَّ فِيْهَا عِبْرَةً

Sesungguhnya aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, sekarang ziarahilah, kerana padanya terdapat pengajaran. Hadis sahih diriwayatkan oleh Ahmad (3/38/63/66) dan al-Hakim (1/374-375).


Dari Anas bin Malik bahawa nabi s.a.w. bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَن زيارةِ القُبُوْرِ أَلاَ فَزُوْرُوْهَا، فَإِنَّهَا تُرِقُّ القَلْبَ، وتُدْمِعُ العَيْنَ، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ، وَلاَ تَقُوْلُ هُجْراً

Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, sekarang ziarahilah, kerana padanya dapat melembutkan hati, mengalirkan air mata dan memperingatkan akan akhirat, dan jangan kamu berkata perkara yang tidak baik. Diriwayatkan oleh al-Hakim (1/376) dengan sanad yang hasan.


Kelima: Kaedah

Persoalan yang perlu difikirkan juga ialah di zaman nabi s.a.w. adakah terdapat di sana halangan untuk membaca al-Quran di kubur? jawapannya sudah tentu tiada halangan untuk melakukan demikian. Dan sekiranya tiada halangan dan ianya baik serta afdal mengapa nabi s.a.w. tidak mengajar dan menyuruh para sahabat melakukan perkara tersebut?

Kaedah penting yang disebutkan oleh para ulamak “Sekiranya sesuatu amalan tertentu yang tidak dilakukan pada masa nabi s.a.w. hidup disebabkan adanya halangan yang menghalang dari ianya dilakukan, maka apabila halangan tersebut hilang selepas dari kewafatan nabi s.a.w. maka hukumnya harus diamalkan”.

Contohnya solat tarawikh secara berjemaah, nabi s.a.w. tidak melakukannya berterusan kerana bimbang ianya diwajibkan, setelah kewafatan nabi s.a.w. kebimbangan tersebut telah pun hilang disebabkan terputusnya wahyu dengan kewafatan nabi. Maka setelah itu hokum mengamalkannya dibolehkan.

“Dan sekiranya tiada halangan yang menghalang sesuatu amalan dilakukan, dan dalam masa yang sama nabi s.a.w. tidak melakukan dan menganjurkannya kepada para sahabat maka setelah kewafatan baginda s.a.w. amalan tersebut tidak disyariatkan”.


Contohnya amalan membaca al-Quran di kubur. Sebab itulah pentingnya memahami al-Quran dan hadis-hadis baginda s.a.w. sebagaimana yang difahami oleh salaf iaitu para sahabat.


Keenam: Membaca Al-Quran di kubur boleh membawa kepada kesalahan yang lain.

Jika ditinjau dari sudut yang lain, selain kesalahan amalan membaca Al-Quran di kubur, kita juga mendapati anggota masyarakat kita juga kebanyakkannya telah melakukan satu kesalahan yang jelas di larang oleh agama sewaktu menziarahi kubur dan membaca al-Quran di sana. Iaitulah dengan duduk di atas kuburan untuk membaca yasin dan sebagainya. Mengapakah perkara ini tidak diambil berat oleh masyarakat kita? Jawapannya disebabkan kerana kejahilan. Tidakkah kita mendengar hadis Nabi s.a.w.

لأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتَحْرِقُ ثِيَابَهُ فَتَخْلِص إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ مِن أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ

Adalah lebih baik bagi seseorang di kalangan kamu duduk di atas bara api sehinga terbakar pakaiannya dan melecur kulitnya daripada dia duduk di atas kubur”. Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam bab “Larangan duduk di atas kubur dan bersolat di atasnya.

Allah berfiman:

"فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ"

Maksudnya:
“dan hendaklah mereka yang menyanggahi perintahnya beringat bahawa mereka akan ditimpakan fitnah (di dunia) dan azab yang pedih (di akhirat)”. Surah al-Nur:63

Disimpulkan disini amalan yang dianjurkan ketika menziarahi kubur ialah

1- Memberi salam kepada ahli kubur
2- Berdoa untuk diri sendiri dan ahli kubur
3- Mengambil pengajaran dan menginsafi diri ketika menziarah kubur.

Rujukan : http://al-fikrah.net/index.php?name=News&file=print&sid=206

No comments:

Post a Comment